1. Bangunlah seawal pagi.
Mandi itu wajib. Jika saya bangun jam 5 pagi, saya akan segera mandi. Kalau saya tersedar pada jam 5.30 pagi, saya tetap akan mandi. Sebelum buat apa-apa, saya akan pastikan diri ini sudah mandi terlebih dahulu. Mandi sebelum Subuh ini bukan sahaja memberi kesegaran, bahkan ia juga adalah petua awet muda dan menjaga kesihatan tubuh badan. Ia bukan sekadar amalan biasa, tetapi telah terbukti memberi tenaga dan membuang unsur-unsur negatif dalam badan.
2. Lakukan Solat Sunat Tahajud.
Solat tahajud adalah senjata wanita beriman. Dua rakaat atau empat rakaat pun sudah cukup. Solat ini dilakukan dalam keadaan sunyi, ketika semua orang masih tidur. Apa sahaja yang dimohon dalam tahajud ibarat anak panah — tembakannya tepat ke sasaran. Ia adalah waktu di mana kita sangat dekat dengan Allah, tiada gangguan duniawi. Doa tahajud saya jadikan sebagai tempat memohon kekuatan, rezeki, ketenangan, dan perlindungan.
3. Bacalah Al-Quran sebelum masuk azan Subuh.
Amalan ini sangat memberi ketenangan. Walaupun hanya satu halaman Al-Quran, jika dibaca secara istiqamah setiap hari, hati kita akan lebih terhubung dengan Allah. Saya pilih waktu ini kerana fikiran masih segar, suasana masih sunyi. Ini adalah detik suci untuk mendekatkan diri kepada kalamullah.
4. Selepas solat Subuh, bacalah Surah Yassin.
Yassin adalah hati Al-Quran. Banyak kelebihan yang terkandung di dalamnya. Saya amalkan setiap hari bersama-sama dengan Kelab 7 Pagi. Bacaan ini membuka hari saya dengan penuh cahaya dan semangat baru.
5. Amalan Sedekah Subuh.
Ini amalan yang sangat dituntut. Saya juga mengamalkannya melalui Kelab 7 Pagi. MasyaAllah, luar biasa kebaikannya. Tidak perlu banyak — asalkan istiqamah. Hari-hari serahkan sedikit rezeki kepada Allah. Ia menjadi sebab terbukanya pintu rezeki yang tidak disangka-sangka.
6. Perbanyakkan Selawat kepada Rasulullah SAW.
Bacalah sekurang-kurangnya 100 kali sehari. Jika mampu, 1000 kali lebih baik. Selawat ini saya amalkan dalam pelbagai keadaan — semasa memandu, memasak, menunggu giliran, atau selepas solat fardu. Bila kita banyak berselawat, kita akan lebih tenang dan urusan hidup terasa sangat dipermudahkan oleh Allah. Apa yang kita hajati, sebutlah dalam hati sambil berselawat.
7. Jika masih ada ibu dan ayah, telefonlah mereka setiap hari.
Hubungi mereka walaupun sekejap. Jika mereka guna telefon pintar, buatlah video call. Tengok wajah mereka adalah terapi jiwa. Mereka adalah pintu syurga kita. Minta berkat dan doa mereka sebelum memulakan pekerjaan atau perniagaan. Mohon ampun setiap hari. Mohon restu mereka. Percayalah, hidup akan lebih diberkati jika kita menjaga hubungan dengan ibu bapa.
8. Solat Dhuha jangan tinggal.
Ia sangat penting. Boleh dilakukan 2 rakaat, 4 rakaat atau sehingga 12 rakaat. Saya jadikan Dhuha sebagai amalan harian wajib. Waktu akan menjadi lebih berkat, urusan berjalan dengan lancar, dan rezeki datang mencurah-curah. Saya rasa masa saya jadi lebih panjang dan banyak perkara boleh diselesaikan dengan tenang.
9. Amalkan solat sunat lain juga.
Antaranya solat sunat Qabliah dan Ba’diah. Yang paling hebat, solat sunat sebelum Subuh — ganjarannya umpama dunia dan seluruh isinya. Saya juga amalkan sebelum dan selepas Zohor. Tambahkan sedikit demi sedikit hingga cukup 10 rakaat sehari. Dikatakan, jika seseorang itu istiqamah melakukan solat sunat sehingga mencecah 40 rakaat sehari, namanya akan dipadam dari senarai ahli neraka. MasyaAllah, besar ganjarannya.
10. Buat briskwalk atau senaman ringan setiap hari.
Sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Jika briskwalk, sasarkan 5,000 langkah. Kalau tak mampu berjalan, lakukan apa sahaja bentuk senaman yang sesuai dan kita suka. Ini untuk tubuh badan yang sihat, ringan, dan bertenaga. Apabila badan sihat, ibadah juga jadi lebih ringan untuk dilakukan.
11. Kurangkan jumlah makan.
Atau tukarkan kepada pemakanan yang lebih sihat. Jangan makan ikut nafsu. Bila badan ringan, bukan sahaja mudah bergerak tetapi mudah juga beribadat. Kita bukan makan untuk kenyang semata-mata, tapi untuk beri tenaga berkhidmat kepada Allah.
12. Dengar paling kurang satu nasihat setiap hari.
Hati manusia mudah berbolak-balik. Kita perlu sentiasa diingatkan. Carilah nasihat melalui cara yang kita suka. Mungkin daripada ceramah, video pendek, atau tulisan-tulisan bermanfaat. Biar hati sentiasa hidup dan tidak lalai.
13. Tambahkan satu ilmu baru setiap hari.
Dengan teknologi yang canggih hari ini, ilmu sangat mudah dicapai. Hanya melalui telefon pintar pun kita boleh tambah ilmu. Tapi pastikan ilmu akhirat tidak dilupakan. Ilmu akhirat lebih memberi bekal untuk kita di sana nanti. Sibukkan diri dengan usaha untuk memperbaiki diri. Bila kita sibuk upgrade diri, kita tak ada masa nak pandang dan cakap buruk tentang hidup orang lain.
14. Saya amalkan bacaan Surah Al-Mulk setiap malam sebelum tidur.
Surah ini akan menjadi pelindung di alam barzakh. Saya mula dengan pasang audio bacaan dari YouTube dan ikut sama membaca. Lama-kelamaan, ayat-ayatnya melekat di ingatan dan saya sudah boleh membacanya sendiri. Alhamdulillah.
15. Jom kita sama-sama amalkan semua ini.
Untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Saya juga seorang wanita yang sangat sibuk dengan urusan bisnes. Tapi saya sentiasa berusaha mencari masa dan ruang untuk istiqamah dengan amalan-amalan ini. Saya percaya, ketenangan itu datang daripada hubungan kita dengan Allah. Semoga Allah terus merahmati dan memimpin hati kita semua.
16. Foto kenangan:
Gambar ini adalah saya ketika menaiki Haramain High Speed Railway dari Madinah ke Mekah semasa mengerjakan umrah. Jika naik bas, perjalanannya ambil masa 7 jam. Tapi dengan kereta api laju ini, hanya 2 jam setengah. Alhamdulillah, satu pengalaman yang sangat mendamaikan.
📲 Dikongsi melalui Facebook: Faridah Mohd Ali
#kiniviral