07 August 2022

 Today Quote- 

" When there is no longer problem you are handling now, actually you are out of job, just a matter of time, sooner or later. "

27 December 2021

TRIP MELAKA

3H 2M

15, 16, 17 Disember 2021

========================================

Tahun ini melaka adalah pilihan kami. 

Sebagai penutup tahun 2021 trip yang dipilih adalah Negeri Melaka bandaraya bersejarah. Setelah hampir 4 tahun tidak ke Melaka saya mengambil keputusan untuk ke sini memandangkan hujung tahun kebiasaannya negeri pantai barat tidak terkesan dengan musim tengkujuh. Memang betul jangkaan saya perjalanan kali ini segalanya lancar Alhamdulillah.

 Bertolak pada jam 10 pagi, melalui jalan batu balik, muadzam, segamat, tangkak seterusnya menghala ke kuala lumpur exit bandar hilir, Melaka.

 Trafik lancar tiada kerumunan kereta yang menyesakkan jalanraya, sedikit terganggu di sekitar bandar tangkak. Hanya kenderaan bergerak perlahan.

 Singgah ke tandas di petronas segamat, kemudian mengambil makan tengahari di kedai nasi ayam pak mus segamat. Sangat ramai pelanggan pada hari itu mungkin berkebetulan dengan waktu rehat tengahari. Nasi ayam yang cukup lazat dan lauk yang pemurah menjadikan ia sebagai pilihan masyarakat kawasan tersebut.

 Sepanjang perjalanan melalui kawasan pemandangan gunung ledang di segamat yang indah,  menggamit memori ketika belajar disekolah berkenaan sejarah Hang Tuah dan puteri gunung Ledang. Bayangan cerita P. Ramlee pun hadir bersama menerawang sebentar ketika melalui papan tanda masuk ke gunung ledang.

 Di Melaka saya menginap di Atlantis Residence.. Ia menjadi pilihan kerana dapat memuatkan 6 orang dengan selesa pada satu masa. Harga yang di tawarkan pun munasabah. Kolam yang besar dan menyeronokkan bagi yang membawa bersama anak kecil.

     

    Selesai self check in. jam 4 petang. Kami menjenguk kolam sangkaan mahu terus mandi. Rupanya mesti booking tempat dahulu kerana SOP Covid19 yang melanda negara ketika ini. 

 Kami pun booking untuk jam 8.00 dan 9.00 malam. Senang booking dua jam terus.

Disebabkan hampa tak dapat mandi kolam petang itu. Kami ambil keputusan pergi  minum petang di Pantai klebang, Sambil menikmati teh tarik disitu sambil menikmati sekitar pantai Klebang yang menjadi tumpuan orang ramai untuk berehat dan beriadah. 

Selesai sahaja kami terus balik ke bilik dengan anak-anak sudah berteriak nak mandi kolam.

 Yeay.. This is Holiday..

Malamnya selepas solat ( Jamak Ta'khir ) sekitar jam 9.00, terus ke tebingan bandar hilir untuk menaiki river cruise. 

  Beratur! 

  Peh.. ramainya orang berpusu membeli tiket. Sebahagiannya menanti kehadiran bot untuk mengambil penumpang. Mujurlah bot yang disediakan banyak jadi hanya menunggu satu pusingan sahaja.

 Berbaloi.. Itu yang dapat diungkapkan setelah selesai menaiki bot menelusuri sungai melaka. Sarat dengan informasi yang disajikan sepanjang perjalanan malam tersebut.

Perut mula menunjukkan tanda ia perlu diberi perhatian. Kami bergegas mencari makan di restoran berdekatan. Jam sudah menunjukan 11.00 malam.. Mujurlah masih ada kedai yang buka pada waktu malam sebegitu.

 Alhamdulillah kenyang, pulang ke tempat penginapan bersiap untuk rehat dan tidur.

Hari Kedua,

Pagi itu hujan turun membasahi bumi bersejarah.. mengacau milo 3 in 1 di dapur apartment.. sambil makan roti yang dibeli di seven E malam tadi. Melihat curahan air hujan yang lebat sambil meneguk milo panas. Terasa kehangatannya yang menghilangkan segala difikiran.

  Hujan berhenti sekitar jam 11 pagi. Semua sudah bersiap... kami terus menghala ke bandar hilir mencari makan tengahari. 

 Asam pedas! 

    Yeayy itu sudah semestinya jika berkunjung di melaka. Restoran Hajah Rahmah menjadi pilihan kali ini. Kelihatan ramai orang beratur, meja pun sesak. Kami terus mencari ruang kosong. Alhamdulillah tempat dapat, asam pedas disini tidak mengecewakan. Usai makan tengahari, berkunjung terus ke kedai cenderahati di seberang kedai makan. Banyaknya ole-ole yang dijual.. membeli hanya  sekadar keperluan sahaja.

 Disebabkan aktiviti lawatan seterusnya, sekitar bandar hilir sahaja, Kami hanya berjalan kaki ke lokasi paling hampir iaitu muzeum samudera.. berfotografi disitu sebagai kenangan hadir ke kota bersejarah. Cuaca panas yang mengalirkan peluh tidak terasa, akibat seronoknya menikmati artifak tinggalan bersejarah.

 Hampir 1 jam disitu kami beralih ke kota A' famosa, kali ni menaiki beca beroda tiga. Terpaksa menyewa 2 buah kerana jumlah kami seramai 6 orang.

 

Wah! seronok juga bila naik beca orang yang kayuh. Rasa macam pelancong luar negara sahaja. Upah dikira untuk sebuah beca RM25.00. Berbaloi untuk yang sekali sekala datang ke Melaka.

 Usai berfoto kenangan di kota A' Famosa, Kami bergegas ke masjid selat melaka. Jaraknya tidak jauh dari bandar hilir sekitar 10 min perjalanan sahaja. Seronoknya masjid selat ini kerana sebahagian binaannya mencecah selat melaka. 

 Deruan angin yang lembut seolah membelai perasaan, ianya sangat mengasyikkan. Selain mengibadahkan diri dengan solat, masjid ini juga sesuai untuk merehatkan minda dengan menikmati pemandangan selat melaka yang terbentang penuh dengan sejarah yang lama.

 Petang itu kami ke kampung morten, minum kopi sambil menikmati pemandangan tebingan sungai melaka. Sambil menghirup kopi panas dan berbual tentang sejarah dan keunikan bandaraya melaka diselangi bunyi bot yang mula beroperasi membawa penumpang yang pelbagai sangat membuai rasa. 

 Jelas! ianya satu perasaan yang mendamaikan..

Setelah malam tiba, kami mula beredar, hujan mula turun dengan rintik-rintik.. kami bergegas ke kereta. Tidak lama hujan mula turun dengan lebatnya. Mula mencari arah seterusnya yang hendak di tuju. Galeri 3D mula muncul di paparan telefon, Kami mula mencarinya dalam hujan yang lebat ianya memaksa kami mencari perlindungan letak kereta berbumbung. Akhirnya bertemu parking didalam kawasan kompleks beli belah. Mula mencari galeri 3D.. malangnya waktu operasi sudah pun tamat. Berlegarlah kami di ruangan kompleks tersebut. 

 Setelah hujan mula berhenti perlahan kami keluar mencari destinasi seterusnya bagi mengisi luang waktu yang ada. 

 Nah! kami ke Jonker street.. mencari melalui aplikasi maps.. akhirnya ketemu juga namun malangnya tiada seorang peniaga yang berniaga. Rupanya mereka hanya beroperasi pada waktu malam jumaat, sabtu dan ahad sahaja..

Argh.. mana pula nak pergi ni.. setelah berpusing-pusing disekitar bandaraya melaka malam tersebut, kami ambil keputusan untuk mencari makan mengisi perut yang mula terasa kelaparannya.

 Masuk ke kg Morten semula, namun terlalu sesak dengan orang ramai. Kami keluar dan terlihat restoran Nasi Lemak Royale Kedah ( Melaka ). Nah.. apalagi terus sahaja memberi isyarat membelok kiri dan mencari ruangan tempat meletak kereta.

 Kedengaran nyanyian band lagu yang membuat persembahan di tepi restoran tersebut. Setelah daftar nama di aplikasi mysejahtera dan mencatat suhu. Kami mengambil tempat duduk yang agak hujung. Kedai penuh dengan pengunjung meskipun agak lewat malam. Nasi kuning, kuah campur, ayam goreng bersama Teh O sungguh menyelerakan. sambil disajikan halwa telinga dengan pelbagi lagu dari band restoran. Siap makan hampir jam 11 malam kami pulang semula ke penginapan.

Hari Ketiga

 Setelah siap sarapan dirumah, kami mula berkemas untuk check out. Barang disimpan rapi ke dalam luggage. Sampah sarap di kutip dan diikat kemudian di himpun di suatu sudut. Sebagai penghargaan kepada tuan rumah yang menyediakan kami tempat tinggal yang selesa. Saya memang menerapkan budaya dan disiplin dalam keluarga kami supaya beretika ketika keluar masuk di mana-mana penginapan.

 Tepat jam 11.00 am, kami check out dari apartment tersebut. Semuanya self check out. Kami terus menghala ke bandar hilir mencari rumah terbalik ( Upside Down ). Memang kreatif juga dalam rumah ni. Semuanya terbalik dan memerlukan gaya fotografi yang betul bagi menghasilkan efek yang betul. Lama juga hendak memahami efek dalam gambar di rumah ini. Bagaimanapun ianya menjadi keseronokan apabila berjaya menghasilkan potret yang betul.

 Selesai penggambaran disini, kami terus keluar untuk mencari makan tengahari. Disini kami memilih Asam pedas selera kampung, Rasa asam pedas kedai ni sedikit berbeza dengan yang semalamnya. Namun kelazatannya sehingga menjilat jari. 

 Usai makan tengahari kami terus keluar dari bandar hilir menuju ke arah air keroh, hajatnya ingin menaiki pedati lembu. Namun kami difahamkan sudah tiada lagi aktiviti pedati lembu kerana banyak pihak mendakwa pengeksploitasi haiwan adalah satu kezaliman dan mendapat kecaman hebat sama seperti negara Thailand yang menggunakan gajah sebagai simbol tarikan pelancong ke negara itu.

Justeru kami mengambil keputusan untuk terus pulang pada jam 3 petang daripada air keroh.

 Selamat Tinggal melaka bandaraya bersejarah.

InsyaAllah umur panjang kita berjumpa lagi.

Adios.. Byee


 





20 December 2021

 

Review Buku 

===========================

SAYA ADA 25 JAM SEHARI

Penulis : Dr Mohd Daud Bakar

MS : 244

Cetakan : IWC Sdn Bhd

=============================



Alhamdulillah

    Baru sahaja menghabiskan bacaan buku "saya ada 25 jam sehari" tulisan Dr Mohd Daud Bakar. Buku ini saya jumpa di SMO Bookstore ECM Kuantan. Ia merupakan sebuah lagi karya Dr Mohd Daud Bakar yang judul asal ditulis dalam bahasa inggeris kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa melayu. Dibeli pada 23/10/2021.. Walaupun lama di pasaran cumanya saya baru terjumpa ketika mencari bahan bacaan di ECM..

 Apa yang dapat saya ulaskan disini penulis sangat komited menjelaskan penggunaan masa yang boleh dikembangkan dari 24 jam ke 25 jam.

 Dari sudut pandang saya sendiri, isinya sangat padat dan penggunaan bahasa yang beraras tinggi. Memerlukan daya fikir yang baik supaya dapat memahami setiap bait yang diungkapkan..

 Sebenarnya saya lebih suka jika penulis menggunakan bahasa rakyat marhaen sahaja supaya ia lebih dekat dengan khalayak pembaca yang pelbagai.. Buku ini menceritakan kisah hidup penulis yang sangat sibuk travel dari satu lapangan terbang ke lapangan terbang yang pelbagai di serata dunia..



 Di situlah penggunaan masa yang maha sibuk di manfaatkan sepanjang perjalanan penulis. Banyak tips dan teknik yang dikongsikan dalam buku ini antaranya.

# Gaya hidup dan kerja yang buruk ini tentunya mengurangkan ataupun menghapuskan masa yang sepatutnya dapat dimanfaatkan bagi kerja-kerja produktif..

# Semua perkara yang dirancang ataupun ingin dilakukan haruslah bersifat peka masa ataupun pusatan masa, yakni merujuk pada penggunaan masa secara cekap dan berkesan.

# Sesudah berjalan senam di pagi hari, minda saya mula mencerna segala isu bagi mendapatkan perspektif tepat mengenai isu Syariahnya ( jika ada ).

# Dalam hidup, terdapat dua ciri yang membantu kita berjaya: kepintaran dan kemahuan bagi berjaya, ataupun keazaman.

# Pengurusan masa yang tidak bijak menyebabkan prestasi kerja yang lemah dan akibatnya anda menanggung malu.

# Setiap orang mempunyai cara berbeza menghadapi masa tergendala...... Sekadar perlu mengubah cara anda bekerja ataupun cara anda meminta pertolongan orang ataupun rakan kerja.

# Saya sebenarnya membaca lebih banyak buku di awan putih berbanding jumlah buku yang saya baca di darat membumi ( sepanjang tempoh 2005-2015 ).

# Ini kerana saya dapati sebaik sahaja saya kurang menumpukan perhatian, banyak perkara kurang enak berlaku dalam kehidupan peribadi dan profesinal saya.

# Perwatakan dan perawakan berbilang tugas mampu membantu menjana masa tambahan buat diri anda sendiri, sungguhpun anda tidak menyedarinya.

# Berbilang tugas bukan lagi kemahiran sampingan. Sebaliknya, ia kemahiran utama yang perlu dimiliki individu dan pemimpin hebat.

# Peranan pemikiran bawah sedar dalam penyelesaian matematik memang tidak dapat dinafikan.

# Apabila seseorang bersemangat tinggi dan bekerja penuh perasaan dia mampu menghasilkan kecemerlangan, malah keajaiban.

# Apa yang penting adalah berapa banyak tugasan yang mampu disiapkan dalam sehari.

# Kita perlu melonjak daripada bagus kepada hebat.

# Dalam kehidupan apabila seseorang tidak mengambil risiko, mereka cenderung bersikap sambil lewa.

# Tetapi yang mengejutkan adalah insan yang bersemangat tidak mempunyai sebarang senarai tugas. Mereka cuma bersemangat bagi mencapai apa yang perlu mereka capai dalam sehari. Bagaimana itu mungkin berlaku?

# Saya memulakan hari saya dengan mengimbas semua tugas yang perlu saya lakukan, ada yang amat penting, ada yang sudah melepasi tarikh akhir atau pun hampir melepasi tarikh akhir.

# Saya menyelesaikan hampir 50% kerja harian yang tertunggak semasa sedang makan tengahari, memandu ataupun berjalan sekitar lapangan terbang di seluruh dunia. Ini kerana isu tersebut adalah isu biasa dan mampu di ramal. Ini termasuklah pengurusan diari bagi temujanji, nota bagi ceramah dan mesyuarat, hal pentadbiran, urusan perjalanan dan sebagainya.



    Sebenarnya banyak lagi bait-bait inspirasi yang terdapat di dalam buku tersebut. Saya sarankan pembaca boleh dapatkannya di mana-mana toko buku berhampiran.

Sekian huraian dari sudut pandang saya.. 



Semoga membantu..

Selamat Membaca..


17 October 2021

Cameron Highland


08-10 Okt 2021


1. Selepas lama tidak keluar dari kampung halaman akhirnya berjaya juga mencari ruang untuk menghirup udara di tanah tinggi.

2. Perjalanan kali ini memberi satu idea dan inspirasi untuk maju ke hadapan.

3. Mengatasi halangan dan rintangan yang berada di dalam diri sendiri.

4. Menguasai diri adalah jauh lebih sukar.

5. Merenung keindahan alam yang terbentang luas.

6. Menghargai semuanya.




22 November 2020

 Assalamualaikum wbt...

Adobe Photoshop

HRDF

Rubick Technologies

Kursus 5 hari.

16 - 20 November 2020, Mana2 Cafe.

     Harini aku nk share cerita aku join kelas Adobe Photoshop under HRDF. This is for beginner, meskipun aku ada juga belajar sendiri adobe photoshop ni tapi bila join kelas ni rasalah ada tok guru yang betul... Barulah ilmu tu ada sanad sikit.. Genuine..

    Pada aku kelas ni sangat2lah berbaloi.. dahlah free, dapat sijil, tambah dengan elaun lagi.. Mana nak dapat kelas camni.. memang fullhouse lah..

     Pada korang yang nak join kursus under HRDF rajin2lah cari kat page diorang tu.. Kalau ada trylah join.. memang tak rugi..

     Lagipun banyak lagi kursus yang diorang ni buat.. marketing, culinary, industries.. macam2lah.. ikut interest masing2lah..

    Kelas ni aku join solo je.. xde geng yg temankan pun.. sampai kat situ kebetulan adalah muka sorang mamat ni pernah kenal.. bolehlah buat teman borak waktu makan kat cafe situ..

    Day 1st, just belajar tentang tools je.. pastu adalah sikit buat quote guna tools yang dia ajarkan tu..

guna saiz page yang betul, square saiz dan A4 saiz..

    Day 2nd, belajar nak buat namekad mockup.. memang nampak senang bila ada guru, tapi bila buat sendiri jadi slow.. aku pun tak tau.. haha

    Day 3rd, buat replicate poster.. cari satu poster pastu tiru sebijik.. yang ni aku suka..

    Day 4th, buat brochure.. yang ni agak rumit sikit.. tapi bila dia jadi.. memang terbaiklah..

    Day 5th, buat invitation card dan page FB.. senang je rupanya buat invitation card.. asal ada template je.. sekejap je dah boleh siap.. korang boleh google je banyak dalam internet tu..

    Tu jelah nak cite.. saja nak tulis kat sini supaya tak lupa..

    Adioss..

    Wassalam..





30 July 2020

Mancing Siakap 4Kg..


Assalamualaikum wbt..
Di sini aku nak kongsikan skit hasil mancing kakap putih ( tempat rahsia) hahaha.. area kat tepi umah aku je..
Sebelum aku delete gambar dalam phon aku yang dah makan space ni elok aku tampal kat sini.. Bila2 masa aku nak tengok semula aku buka kat blog ni jelah..
 Antara hobi aku juga adalah memancing.. jadi sekurang2 nya seronoklah juga ada pengisian kat blog aku nih.. ye dak.. 
 Ini duk kosong gitu je..  aktiviti banyak cuma aku je tak rajin nak menulis.. harap2 adalah manfaatnya bila dah mula rajin nak ber kongsi..
 Okay ni gambar2nya ya..





Cara nak melantik wasi

Tajuk ni penting untuk aku buat rujukan..

Simpan sini dulu ya..
Kredit pada penulis asal artikel ni: Ihsan Abdullah


MELANTIK WASI/PENTADBIR DALAM WASIAT PENTADBIRAN: LANTIK INDIVIDU ATAU SYARIKAT AMANAH LEBIH BAIK?

Pertama sekali, kita harus memahami apa fungsi wasi terlebih dahulu:

a.Menjelaskan belanja pengebumian

b.Melunaskan hutang si mati iaitu hutang dengan manusia dan hutang dengan Allah (kaffarah, fidyah, upah haji dan zakat harta)

c. Memungut hutang si mati.

d. Mengumpulkan harta pusaka

e. Mengekalkan harta pusaka

f. Mentadbir harta pusaka

Jadi, tugas sebagai wasi/pentadbir bukanlah satu tugas yang kecil. Ianya memerlukan kepada komitmen dan juga integriti, malah ability yang baik untuk melaksanakan tugas sebagai wasi.

MELANTIK SYARIKAT AMANAH SEBAGAI WASI

Syarikat amanah ialah sebuah syarikat yang dikenali sbg trustee company yg bertindak sebagai pemegang amanah kpd harta pusaka. Contoh syarikat amanah ialah Amanah Raya Berhad, Assalihin Trustee Berhad, AmTrustee, UBB Trustee dan lain2. 

KELEBIHAN SYARIKAT AMANAH

Syarikat amanah ialah syarikat Berhad yang tidak akan mati, oleh itu kita tidak perlu risau ttg "matinya" pentadbir harta kita.

Syarikat amanah juga mempunyai tenaga kerja mahir yang terlatih dan dibayar gaji untuk menguruskan pusaka kita.

SALAH ANGGAPAN TERHADAP WASIAT YANG DIBUAT DENGAN SYARIKAT AMANAH

Ramai yg berfikir bahawa, ok sy dh buat wasiat, jd sy sudah tak perlu risau kalau sy dah tiada nnt. Dengan wasiat yang bernilai semurah RM350 sehingga promosi tulis wasiat percuma pun ada, ramai org yg sudah menganggap urusannya selesai.

Sebenarnya bila anda melantik Syarikat Amanah sebagai wasi di dalam wasiat anda, maka anda akan mengikat syarikat amanah tersebut untuk menguruskan pusaka anda nanti. Apakah tiada kos yang akan dibayar selepas anda tiada nanti? Adakah RM350 sudah cukup untuk menguruskan semua jenis pusaka anda?

Semestinya TIDAK. Kos pengurusan pusaka (estate administration) adalah mengikut nilai semasa harta pusaka anda sewaktu ia diuruskan. Contohnya, sekarang anda ada rumah bernilai RM400,000, katakanlah anda meninggal lagi 10 tahun, berapa nilai semasa agaknya rumah anda? still 400k? Pastinya tidak jugak.

Oleh itu, anda juga harus tahu dan bertanya kepada syarikat Amanah tersebut tentang fee pengurusan pusaka selepas kematian kita nanti. Ramai agen2 syarikat amanah yang tidak reveal kos selepas kematian ini.

Perlu difikirkan bahawa, antara faktor harta pusaka terbeku dan tidak dapat diuruskan ialah kerana kos pengurusan pusaka yang tinggi dan gagal dibayar oleh waris2. Memang benar kos tersebut boleh ditolak melalui tunai yang ada dalam akaun tunai si mati. Itu kalau ada tunai, kalau takde?

Sy ambil contoh satu kes: 

Arwah Pak Mat ada sebuah rumah bernilai RM500k dan tunai berjumlah RM5000.

Fi pengurusan pusaka di syarikat amanah meliputi:

Fi buka fail: Kira2 RM500 ke RM2000

Fi Professional: 2% dari nilai semasa harta pusaka

Fi rampaian: kos2 pergerakan (minyak, tol, penilaian hartanah, surat kuasa mentadbir dan lain2)

Anggaran kos pusaka Arwah Pak Mat ialah:

Fi Buka Fail: RM500

Fi professional: RM10,000

Fi rampaian: RM5,000

Jumlahh: RM15,500

*kos ini hanya anggaran, boleh bertanya sendiri ke syarikat2 amanah yg ada kerana fi masing2 berbeza.

Jadi kos keseluruhan ialah RM15,500. Arwah Pak Mat hanya tinggal RM5k saja dalam akaun. Jadi lebihnya waris yang harus tanggung. Apa yang lebih buruk pernah berlaku, rumah terpaksa dijual untuk membayar kepada syarikat amanah. Malah lebih buruk, mereka boleh lelong rumah pusaka untuk mendapatkan kembali fi mereka.

MELANTIK INDIVIDU SEBAGAI WASI

Bila kita sebut individu, tiada jaminan bahawa individu yang kita lantik akan hidup semasa kematian kita. Oleh itu, kita berdepan risiko tersebut. Walaubagaimanapun, kita sebenarnya tidak perlu terlalu risau kerana individu yang kita lantik kita sentiasa boleh tukar dan update.

Bagi kes org yg meninggalkan RM2 juta ke bawah (harta alih dan tak alih). waris tidak memerlukan peguam dan mereka boleh execute sendiri kes pusaka tersebut di Pejabat Pesaka Kecil. Kosnya jauh lebih murah dari fi pengurusan di syarikat amanah.

Cuma persoalannya, adakah wasi yang kita lantik tersebut capable dan mahir untuk menguruskan pusaka arwah selain sanggup untuk mengambil cuti dan mengorbankan masa dan tenaga untuk naik turun pejabat pesaka kecil, mahkamah tinggi syariah (urusan sijil faraid) dan lain2?

Ada yang boleh dan ada yang hampeh. Takut nanti kes tak selesai2, nilai harta pusaka makin mahal!

DUA-DUA ADA PRO & CONS

Oleh itu nak kata lantik syarikat amanah lebih baik tak juga, lantik individu tak jugak lebih baik!

ISU SEBENAR

Isu sebenar pengurusan pusaka ini sebenarnya bukanlah siapa yang kita nak lantik wasi. Sebenarnya kalau kita dah lantik syarikat amanah yang tak mati tu pun kalau waris2 x bersetuju dan nak bawak pentadbir lain, still perlantikan tersebut terbatal.

Isu sebenarnya ialah SIAPA YANG NAK BUAT KERJA dan SIAPA YANG NAK BAYAR KOS!

SARANAN SAYA

1) Lantik wasi dalam kalangan isteri/suami/anak2 atau individu yang dipercayai untuk semua harta termasuk harta berpenama seperti Akaun KWSP, Lembaga Tabung Haji, Benefit Takaful, saham unit amanah dan lain2..

2)  Sediakan peruntukan kos mengurus pusaka melalui akaun2 tunai yang berpenama yang mudah dituntut melalui penama. Contohnya Akaun Lembaga Tabung Haji, penama sebagai wasi boleh menuntut wang tersebut tanpa perlu melalui proses mendapatkan surat kuasa mentadbir di Pejabat Pesaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil. Oleh itu, anda perlu membuat anggaran kos proses pusaka anda dan nyatakan peruntukan kos tersebut untuk digunakan oleh wasi untuk mengurus pusaka anda.

3) Jika anda rasa wasi anda tidak mahir dlm urusan buat kerja pengurusan pusaka, pesan  wasi untuk lantik syarikat agensi pengurusan pusaka (bukan syarikat amanah) yang fi nya lebih murah. Mulai sekarang, anda boleh surbey syarikat agensi pengurusan pusaka yang mempunyai track record yang baik dan proven cases yang bagus.

4) Sentiasa update (paling kurang setahun sekali) perancangan pusaka anda iaitu berapa nilai semasa harta2 anda skrg supaya peruntukan kos pusaka anda nanti betul2 dapat menampung kos pengurusan pusaka anda tanpa menyusahkan anak2 dan waris2 anda.

5) Yang lebih baik, sediakan portfolio perangan harta tahunan, jadi waris2 dpt menguruskan pusaka anda dengan lebih mudah dengan senarai harta yang anda ada nanti lebih memudahkan proses.

PRODUK INOVATIF SEBAGAI ALTERNATIF

Ada satu produk inovatif di Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd yang dinamakan Al-Wasitah, yg mana kita membayar secara bulanan atau tahunan utk produk pengurusan pusaka tersebut, dan benefitnya selepas kematian nanti, pihak Wasiyyah Shoppe akan tmenggunakan dana dari benefit takaful dari produk tersebut untuk menguruskan pusaka kita, tanpa waris2 perlu penat2 buat kerja dan juga mereka tak perlu keluar apa2 kos sbb sudah ada peuntukan melalui benefit takaful tersebut. Difahamkan, Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd telah berjaya membantu lebih 200 kes melalui kaedah Al-Wasitah ini dengan mudah dan lancar. Jadi masalah sapa nak buat kerja dan sapa nak bayar kos pon dah selesai...

PENUTUP

Apa yang saya kongsikan dan saya sarankan ini hanyalah dalam konteks pengurusan pusaka sahaja, belum lagi menyentuh dari sudut pembahagian pusaka dan instrumen perancangan pusaka seperti hbah, harta sepencarian, amanah dan lain2.. Insya Allah ada masa kita kongsi lagi berkenaan perkara tersebut.

Semoga bermanfaat dan jelas untuk kita semua.

Ihsan Abdullah 

Pengarah

Akademi Pengurusan Mal (AKMAL)

Helwah Training & Consultancy

Hukuman Paling Win

Dah pening kepala memikirkan apa nak dibuat pada murid yang nakal : 1. Kencing kat tepi surau 2. Panjat tandas 3. Bermain sampai patah tanga...